
KUCHING: Usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mendekati rakyat selama Kembara Kenali Borneo berlangsung telah menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selama 11 hari ke Sarawak dan Sabah menunjukkan Raja Berperlembagaan memiliki peranan unik sebagai payung perpaduan, kemakmuran serta kestabilan negara ini.
“Oleh itu, Sarawak amat menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong walaupun negeri ini tidak mengamalkan sistem kesultanan seperti negeri-negeri di Semenanjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Santapan Malam Kembara Kenali Borneo anjuran Kerajaan Sarawak, tengah malam tadi.
Abang Johari berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua menjayakan kembara itu menzahirkan contoh bahawa perpaduan seharusnya tidak dihadkan perbezaan agama, budaya atau bangsa.
“Ini terbukti apabila baginda berdua tidak segan terbabit pelbagai aktiviti budaya dianjurkan rakyat untuk menyerikan sambutan ketibaan Tuanku berdua di tempat masing-masing.
“Rakyat Sarawak gembira kerana tahu mereka mempunyai pasangan diraja yang begitu senang sekali mendampingi rakyat. Sambutan rakyat jelata jelas sungguh luar biasa di sepanjang laluan kembara itu,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari turut memaklumkan selain pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak juga sedang membina lebuh raya pesisiran pantai sepanjang 896 kilometer (km) dengan kos RM5.42 bilion.
Katanya, lebuh raya itu membabitkan pembinaan 10 jambatan merentasi sungai besar, termasuk jambatan Batang Lupar sepanjang 4.8km yang akan menjadi jambatan terpanjang merentasi sungai di negara ini apabila siap kelak.
Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang membina Lebuh Raya Kedua dari Samarahan ke utara Sarawak melalui kawasan Sebuyau dan Lingga dengan kos RM5.58 bilion, yang bakal memendekkan masa perjalanan dari Kuching ke Sibu daripada lima atau enam jam sekarang kepada dua jam setengah.
“Keseluruhan kos pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai dan Lebuh Raya Kedua berjumlah RM11 bilion itu dibiayai sendiri oleh Kerajaan Sarawak.
“Program penyediaan infrastruktur besar-besaran yang dijangka siap pada 2026 itu bertujuan menaik taraf sistem perhubungan jalan raya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi lebih hebat dengan matlamat menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.