
KUALA LUMPUR: Jelajah “Kembara Kenali Borneo” merupakan impian yang menjadi kenyataan bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk mengenali rakyat Malaysia yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jelajah pertama seumpamanya oleh seorang ketua negara ini merupakan peluang keemasan bagi rakyat kedua-dua negeri untuk bertemu dengan pasangan diraja dan rombongan mereka.
“Kembara Kenali Borneo” dari 3 hingga 13 September, bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak, akan mencatat detik bersejarah dan pengalaman unik melalui pelbagai program yang kaya dengan adat, budaya dan kraftangan suku kaum yang telah dijadualkan bersama rakyat, mengikut hasrat Seri Paduka Baginda.
Ajudan Tentera Udara kepada Yang di-Pertuan Agong, Brigedier Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang juga Ketua Pegawai Operasi “Kembara Kenali Borneo”, berkata pelbagai program telah diatur bagi membolehkan pasangan diraja berinteraksi dengan rakyat di pasar pagi atau pasar tani yang sinonim dengan komuniti tempatan serta melawat lokasi-lokasi yang mempunyai keindahan semula jadi yang unik.
"Program-program ini bukanlah cadangan daripada rakyat Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, Tuanku sendiri yang memohon untuk melawat lokasi-lokasi terpilih… dan mengambil peluang untuk melihat tempat-tempat lain (di Sabah dan Sarawak)."
"Pada asasnya, idea ini datang daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua… malah, Tuanku juga menyatakan hasrat untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan," katanya kepada pemberita di Istana Negara, baru-baru ini.
Mohamed Zahari berkata pasangan diraja itu juga berhasrat untuk merasai keenakan juadah tempatan Sabah dan Sarawak serta menikmati pengalaman memandu sendiri di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo, seperti yang disebut oleh Seri Paduka dalam titah diraja sempena pembukaan Parlimen pada Februari tahun ini.
Beliau berkata kembara ini amat signifikan kerana dilaksanakan sejurus selepas sambutan Hari Kebangsaan dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September, selain Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga merupakan simbol perpaduan bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Kami berpendapat bahawa dengan kembara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pasti akan membantu mempererat hubungan sesama rakyat dan memupuk perpaduan di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Ekspedisi “Kembara Kenali Borneo” akan merentasi jarak sejauh 2,154 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Selain Tawau, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadualkan singgah di Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang di Sabah dan Lawas di Sarawak dari 3 hingga 7 September sebelum melawat Brunei selama tiga hari.
Rombongan itu kemudian akan menyambung perjalanan dari Miri pada 9 September dan menyertai aktiviti paluan gendang serta sukan, selain diraikan dengan jamuan tempatan di Pantai Bungai Bekenu, sebelum meneruskan perjalanan ke Bintulu, Tatau, Sibu, Sri Aman, Kuching dan tiba di destinasi terakhir di Telok Melano, Sarawak.
"Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa baginda ingin melihat kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk tempatan," katanya sambil menambah bahawa pasangan diraja itu akan mengunjungi pusat kraftangan di Penampang, Sabah dan Miri, Sarawak, antara lain.
Mohamed Zahari berkata Raja Permaisuri Agong juga akan turut serta dalam aktiviti memasak bersama komuniti, seperti yang telah baginda minta.
“Berdasarkan atur cara setakat ini, dua lokasi bagi aktiviti memasak tersebut ialah di Lahad Datu, Sabah dan Rumah Panjang Raymond Plen di Bintulu, Sarawak. Insya-Allah, penduduk tempatan akan berpeluang merasa masakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.
Mohamed Zahari berkata kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bekerjasama dengan Istana Negara bagi memastikan jelajah itu berjalan dengan lancar.
“Bagi pihak Istana Negara, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat atas kerjasama penuh dalam merealisasikan impian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, khususnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan menganjurkan majlis santapan malam untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Kota Kinabalu pada 6 September dan di Kuching pada 12 September. – BERNAMA