Oktober 28, 2024

Bantuan Berterusan, Kasih Raja Tiada Sempadan

MUKADIMAH


Sudah banyak individu menerima manfaat sejak Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) ditubuhkan kira-kira 28 tahun lalu iaitu pada 11 September 1996.
YASA ditubuhkan oleh Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda Seri Paduka berdua itu mempunyai visi tersendiri bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Walaupun bukan berorientasikan keuntungan, kesulitan rakyat menjadi pendorong bagi membantu meringankan bebanan kewangan golongan kurang berkemampuan.
Wartawan Utusan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, dan dibantu jurufoto AFIQ RAZALI, menemuramah Pengurus Besar YASA, MOHD. FAKHRUL ISLAM JUHALI, bagi mendapatkan perspektifnya.


BERSIFAT LESTARI

YASA ditubuhkan pada September 1996 oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang pada ketika itu merupakan Tengku Mahkota Pahang. YASA ditubuhkan sebagai jalinan istimewa di antara raja dan rakyat, sebuah entiti yang bertujuan untuk menyantuni dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Nama asal yayasan ini ialah Yayasan Istana Abdulaziz, yang dinamakan sempena istana Paduka Baginda dan Tunku Azizah. Istana ini juga menjadi simbol cinta kasih antara Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. Namun, pada 2019, nama yayasan ini dijenamakan kepada YASA, tetapi tujuannya tetap sama untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memenuhi aspirasi Paduka Baginda dalam membantu rakyat jelata yang memerlukan.

Dalam tempoh 28 tahun sejak penubuhannya, YASA telah berkembang dengan pelbagai program yang dirancang secara teliti, menumpukan kepada empat aspek utama iaitu: Pendidikan, kesihatan, kebajikan dan aktiviti keagamaan.

Al-Sultan Abdullah sering menekankan bantuan yang diberikan melalui YASA bukanlah sekadar untuk sekali sahaja, tetapi harus bersifat lestari, memberi kesan berpanjangan kepada penerima.
Paduka Baginda kerap bertitah bahawa setiap pemberian haruslah disusuli dengan kesinambungan, agar ia tidak sekadar selesai pada saat bantuan diberikan. Matlamat utamanya adalah untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan melalui YASA benar-benar memberi impak yang positif kepada kehidupan rakyat, terutama golongan yang paling memerlukan.


LAMBANG KASIH AL-SULTAN ABDULLAH KEPADA RAKYAT

Sejak awal penubuhannya, YASA telah menjadi lambang kasih Al-Sultan Abdullah kepada rakyatnya. Paduka Baginda sentiasa mencari jalan untuk menyantuni rakyatnya, terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Bagi Paduka Baginda, yayasan ini bukan sekadar platform untuk menyalurkan bantuan kewangan atau perubatan, tetapi sebagai cara Paduka Baginda mendekati rakyat dengan cara yang lebih santai dan mesra

Melalui YASA, Paduka Baginda dapat berinteraksi dengan rakyat dalam suasana yang lebih mesra dan penuh keakraban.
Jika diperhatikan, apabila berlaku bencana seperti banjir atau kebakaran, Paduka Baginda sering menjadi pemimpin pertama yang tiba di lokasi untuk meninjau keadaan rakyat. Paduka Baginda bukan sekadar melawat, tetapi turut memastikan bahawa bantuan yang disalurkan mencukupi dan sesuai dengan keperluan mangsa.

Jika Paduka Baginda bertemu dengan wanita hamil yang merupakan mangsa bencana, contohnya, Paduka Baginda tidak akan teragak-agak untuk menambah bantuan, sama ada dalam bentuk rawatan kesihatan atau sokongan perubatan lain. Ini adalah salah satu cara Paduka Baginda menunjukkan betapa dalamnya rasa prihatin terhadap rakyatnya, terutamanya golongan yang sedang ditimpa musibah.

Baru-baru ini, sebelum menjelangnya Hari Raya Aidiladha, Paduka Baginda telah menitahkan persediaan awal bagi memastikan lembu korban mencukupi untuk seluruh negeri Pahang. Pada tahun ini, YASA menyumbangkan 26 ekor lembu korban di seluruh Pahang. Malah, Paduka Baginda turut bertanya mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk di Pulau Tioman, yang jarang menikmati daging lembu korban segar.
Hasilnya, YASA menghantar enam ekor lembu korban ke pulau tersebut dengan menaiki tongkang dan setiap kampung di pulau tersebut mendapat daging korban segar. Ia satu pengalaman yang jarang dinikmati oleh penduduk di sana.


HASRAT UTAMA DALAM MENGILHAMKAN PENUBUHAN YASA

Di sebalik kejayaan YASA, terletak dua prinsip utama yang menjadi nadi kepada yayasan ini, seperti yang dititahkan oleh Al-Sultan Abdullah.
Pertama, Paduka Baginda melihat YASA sebagai cara untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang raja kepada rakyatnya.
Bagi Paduka Baginda, tanggungjawab seorang raja tidak terhenti pada soal pentadbiran negeri, tetapi melangkaui kepada menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Kedua, YASA ditubuhkan sebagai satu manifestasi kasih Paduka Baginda kepada rakyat jelata. Paduka Baginda sering bertitah bahawa tanpa rakyat, seorang raja tidak akan berada di tempatnya. “Tanpa rakyat, Beta tiada di sini,” adalah kata-kata yang sering diungkapkan oleh Paduka Baginda, memperlihatkan betapa dalamnya kasih Paduka Baginda terhadap rakyat.

Oleh itu, setiap usaha yang dilakukan oleh YASA adalah demi memastikan rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya. YASA bukan sekadar yayasan untuk menyalurkan bantuan kewangan atau perubatan. Sebaliknya, ia adalah platform untuk Paduka Baginda memastikan bahawa rakyat jelata, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik, sentiasa mendapat sokongan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Paduka Baginda sentiasa menekankan bahawa setiap inisiatif YASA mesti dirancang dengan teliti, mengambil kira kepentingan jangka panjang, dan kelestarian bantuan yang diberikan.


BANTUAN YASA DARI A HINGGA Z

Salah satu inisiatif terbesar YASA ialah penubuhan pusat-pusat dialisis percuma, yang telah bermula sejak tahun 2019. Ilham penubuhan pusat-pusat dialisis ini tercetus sewaktu Paduka Baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Ketika itu, Paduka Baginda telah disembah maklum oleh Kementerian Kesihatan bahawa jumlah pesakit buah pinggang di negara ini semakin meningkat, dengan 8,000 hingga 9,000 kes baharu didiagnosis setiap tahun.

Al-Sultan Abdullah bertanya apa yang boleh dilakukan untuk membantu, terutama dalam kalangan pesakit bukan Islam yang tidak layak menerima zakat. Bagi mereka, kos rawatan dialisis yang mencecah RM3,000 sebulan amat membebankan, terutama jika mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

Oleh itu, Paduka Baginda menitahkan penubuhan Pusat Dialisis YASA di Cheras, yang kemudiannya diperluaskan ke Setiawangsa, Taman Melati, Bukit Jalil di Kuala Lumpur serta Pekan dan Jerantut di Pahang.

Pusat-pusat dialisis YASA ini menawarkan rawatan percuma kepada semua pesakit, tanpa mengira latar belakang agama atau kaum. Tambahan lagi, YASA memastikan bahawa pesakit yang tidak mempunyai kenderaan diberikan kemudahan pengangkutan percuma untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, YASA turut menjalankan program jaringan kesihatan, di mana pasukan perubatan dihantar ke kawasan pedalaman untuk memastikan saringan kesihatan dijalankan secara berkala untuk mencegah penyakit yang lebih kronik. Semua ini dilakukan secara percuma.

Dalam satu kes, YASA membantu seorang wanita Orang Asli yang tidak mengetahui dirinya mengandung dan menghadapi komplikasi. Segala rawatan yang diperlukan diberikan tanpa kos, memastikan keselamatan ibu dan anak.

Untuk melengkapkan usaha ini, YASA juga telah membeli ambulans canggih yang dilengkapi dengan peralatan seperti defibrilator dan ventilator (alat bantuan pernafasan) untuk menangani kes trauma dan kecemasan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan kecemasan yang berkualiti.


PROSEDUR BANTUAN DIALISIS OLEH YASA

Bagi memastikan bantuan dialisis diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, setiap pesakit perlu melalui beberapa langkah penting.

  • Hospital yang merawat pesakit tersebut perlu memberikan kelulusan dan pengesahan bahawa pesakit memerlukan rawatan dialisis
  • Mengisi borang permohonan bantuan dari YASA.
  • Maklumat pendapatan mereka akan dinilai untuk memastikan bahawa hanya mereka yang benar-benar memerlukan menerima bantuan.

KELANGSUNGAN DAN KEMAMPANAN YASA

Dengan sokongan kuat Al-Sultan Abdullah dan anakanda-anakanda Paduka Baginda, YASA telah bertahan selama 28 tahun dan akan terus beroperasi dengan lebih kukuh.
Salah satu faktor yang menjamin kelangsungannya ialah penglibatan aktif anakanda-anakanda Paduka Baginda dalam Lembaga Pemegang Amanah YASA. Ini memastikan bahawa tanggungjawab terhadap rakyat akan diwarisi dan diteruskan dari generasi ke generasi

Selain itu, kelangsungan YASA juga dijamin melalui kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti swasta.
Namun, setiap sumbangan yang diterima disaring dengan teliti untuk pastikan ia telus dan selaras dengan undang-undang.


YASA DAN PENDIDIKAN: MENCORAK MASA DEPAN ANAK BANGSA

Pendidikan merupakan salah satu teras penting yang diperjuangkan oleh YASA. Di bawah bantuan pelajaran, YASA telah menubuhkan program jangka panjang yang dikenali sebagai Akademi Menara Gading (AMG).
Program ini diwujudkan untuk membuka peluang kepada anak-anak asnaf dan golongan kurang berkemampuan, sekali gus melatih mereka untuk menjadi pemimpin masa depan.

Memandangkan negeri Pahang telah melahirkan tiga Perdana Menteri, Paduka Baginda juga melihat AMG sebagai satu platform penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin yang berwibawa dan berkhidmat untuk negara.

YASA telah membuka peluang kepada lebih 1,500 pelajar daripada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, sejak 1999.
Program ini tidak hanya menyediakan sokongan akademik tetapi juga menekankan pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran sukarelawan.

Pelajar juga didedahkan kepada bahasa Mandarin dan Arab sebagai persediaan menghadapi cabaran global. YASA memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang selesa dengan menyediakan asrama, kemudahan teknologi dan perkhidmatan bas sekolah.

Visi YASA adalah untuk melahirkan pemimpin masa depan yang mampu memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.


INOVASI KELESTARIAN ALAM DAN CATATAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR)

Selain pendidikan, YASA juga terlibat dalam pemuliharaan alam sekitar melalui projek tukun tiruan gerabak LRT di Pulau Tioman, yang mencatat nama dalam MBOR. Projek ini bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem laut, tetapi juga meningkatkan sektor pelancongan di Pulau Tioman.

Dengan menambah tarikan penyelaman, ekonomi setempat dijangka menerima impak positif, terutama dari segi peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
YASA membuktikan bahawa inisiatif bantuan boleh diperluas kepada pemeliharaan alam dan memperbaiki kehidupan masyarakat.


CABARAN DAN KELESTARIAN

Seperti mana-mana badan amal, YASA menghadapi cabaran kewangan, namun Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa yayasan ini tidak akan mengumpul dana daripada awam.
Sebaliknya, YASA bergantung kepada kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti swasta, yang semuanya ditapis dengan ketat bagi memastikan tiada unsur jenayah seperti pengubahan wang haram.

Pendekatan ini bertujuan menjaga integriti YASA, agar segala bantuan yang disalurkan adalah hasil dari sumber yang bersih dan tulus.

Walaupun menghadapi cabaran, YASA kekal komited untuk membantu rakyat.
Dengan sokongan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta penglibatan aktif anakanda-anakanda Paduka Baginda berdua, YASA diyakini akan terus memberi impak positif dan melestarikan usaha membantu golongan kurang bernasib baik serta memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang selari dengan aspirasi Al-Sultan Abdullah.

Scroll to Top