Oktober 23, 2025

YASA Terima Sijil Audit Bersih Kewangan Empat Tahun Berturut-turut

KUANTAN – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan empat pillar utama iaitu Pendidikan, Agama, Kebajikan, dan Penjagaan Kesihatan, terus membuktikan komitmen terhadap tadbir urus yang telus, berintegriti dan berkesan.

Berlandaskan nilai amanah serta pengurusan kewangan yang profesional, YASA sekali lagi dianugerahkan Sijil Bersih Penyata Kewangan bagi tahun kewangan berakhir 2024. Pengiktirafan ini menandakan pencapaian empat tahun berturut-turut sejak 2021.

Sijil berkenaan telah diserahkan oleh Pengurus Besar YASA, Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali kepada Penaung Diraja YASA, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Audit yang dijalankan mengesahkan bahawa Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Pendapatan Komprehensif, Penyata Perubahan dalam Ekuiti, Penyata Aliran Tunai, serta nota-nota penyata kewangan termasuk ringkasan dasar perakaunan memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan YASA dan Kumpulan pada 31 Disember 2024.

Prestasi kewangan serta aliran tunai bagi tahun tersebut turut disahkan mematuhi sepenuhnya Piawaian Pelaporan Entiti Persendirian Malaysia (MPERS) dan keperluan Ordinan Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952.

Dalam titahnya, KDPB Sultan Pahang berkenan menzahirkan rasa sukacita terhadap pencapaian tersebut:

“Saya berbesar hati melihat pengurusan YASA mengangkat nilai-nilai ihsan, amanah dan integriti dengan penuh dedikasi, sehingga layak menerima pengiktirafan sijil bersih ini. Semoga pencapaian ini menjadi teladan unggul kepada semua institusi dan agensi di negara ini.”

Tags:

Share:

Scroll to Top