KUANTAN, 7 June 2025 KUANTAN, 7 Jun 2025 – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah berkenan berangkat menyempurnakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan.
Keberangkatan YAM TPP ke majlis yang penuh barakah ini amat dihargai oleh jawatankuasa masjid, warga kariah dan masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan keprihatinan serta komitmen tinggi YAM TPP dalam memartabatkan syiar Islam dan memperkukuh ukhuwah Islamiah dalam kalangan umat.
Majlis turut disertai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali, Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), dan menjadi wadah kebersamaan antara kepimpinan dan rakyat dalam menyambut semangat Aidiladha.
Ibadah korban ini memperingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S. dan keikhlasan Nabi Ismail A.S. dalam menjunjung perintah Allah SWT. Keterlibatan YAM TPP dalam majlis ini turut memperlihatkan teladan kepimpinan berteraskan nilai murni Islam serta menyemarakkan budaya sedekah dan ihsan kepada golongan yang memerlukan.














