Oktober 23, 2025

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Tsukuba, Jepun

KUALA LUMPUR, 2 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Tsukuba, Jepun. Penganugerahan berprestij ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar Baginda dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pertukaran antarabangsa dan sukan.

Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, bersama paduka-paduka anakanda, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Iman Afzan, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Keberangkatan Paduka Baginda pada jam 2.00 petang turut disambut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Noriyuki Shikata; Presiden Universiti Tsukuba, Prof. Kyosuke Nagata; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Khozo Tashima; serta Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam Juhali.

Dalam titah ucapan, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Universiti Tsukuba serta menyifatkan penganugerahan ini bukan sahaja sebagai penghormatan peribadi, malah simbol persahabatan erat dan saling percaya antara Malaysia dan Jepun. Paduka Baginda turut menegaskan bahawa pendidikan adalah asas penting bagi membina masyarakat yang kukuh dan berdaya tahan.

Paduka Baginda juga mengimbau kenangan lawatan rasmi ke Tokyo pada tahun 2019 bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Naruhito, di mana Paduka Baginda berpeluang bertemu dengan mendiang Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Tags:

Share:

Scroll to Top