Kuantan, 15 Mac 2026 – Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara Tengku Natasha Puteri binti Tengku Adnan berkenan berangkat ke Program Santunan Syawal Bermakna 2026 yang berlangsung di Jakel Kuantan.
Program anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama Jakel Kuantan, SIRIM Berhad serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang ini melibatkan 100 orang anak yatim daripada beberapa pusat jagaan di negeri Pahang.
Melalui program ini, anak-anak yang terlibat dibawa ke Jakel Kuantan bagi memilih sendiri pakaian raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba, sekali gus memberi mereka peluang merasai kegembiraan membuat persiapan hari raya seperti kanak-kanak lain.
Program ini merupakan antara usaha berterusan YASA dalam menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim, agar mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri dalam suasana penuh kasih sayang dan keprihatinan masyarakat.