February 20, 2026

Program Outreach Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Masjid Saidina Hamzah, Rompin

Rompin, 20 Februari 2026 – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) telah menganjurkan Program Outreach Pemeriksaan Kesihatan Percuma bertempat di Masjid Saidina Hamzah sebagai inisiatif berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke program ini sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut, diiringi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keprihatinan Paduka Baginda terhadap aspek kesihatan masyarakat mencerminkan sifat kepimpinan yang sentiasa mendahulukan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan warga tua yang memerlukan pemantauan kesihatan berkala.

Lebih bermakna, penganjuran program ini bertepatan dengan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang mulia. Kesihatan fizikal yang baik amat penting bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadah puasa dan amalan-amalan lain dengan sempurna. Justeru, pemeriksaan awal dan nasihat kesihatan yang diberikan dapat membantu masyarakat membuat persediaan dari segi pemakanan, kawalan penyakit kronik serta gaya hidup sihat sepanjang bulan yang mulia ini.

Melalui inisiatif ini, penduduk kampung telah menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma merangkumi saringan asas dan khidmat nasihat. Diharapkan usaha sebegini membawa kepada kesejahteraan jasmani dan rohani masyarakat.

Tags:

Share:

Scroll to Top