November 7, 2025

Persiapan sedang giat dijalankan bagi menyambut keberangkatan KDPB Sultan Pahang untuk merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Bukit Jalil.

Penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Bukit Jalil merupakan sebahagian daripada teras kesihatan di bawah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan serta kesejahteraan rakyat. Melalui inisiatif ini, YASA berhasrat menyediakan kemudahan rawatan dialisis yang moden, selesa dan mampu milik kepada pesakit buah pinggang, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

Segala persiapan majlis kini berada pada peringkat akhir, termasuk penyediaan fasiliti, susun atur ruang majlis, serta langkah-langkah keselamatan dan protokol bagi memastikan kelancaran acara diraja ini. Diharapkan majlis perasmian ini akan menjadi simbol kasih dan keprihatinan Baginda terhadap rakyat, di samping menggalakkan lebih banyak pihak berganding bahu menyokong usaha murni YASA dalam memperkukuh jaringan kesihatan di Malaysia.

Penubuhan pusat ini turut mencerminkan iltizam YASA untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti, serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.

Majlis perasmian yang bakal berlangsung ini dijangka menjadi satu lagi manifestasi kasih diraja terhadap kesejahteraan ummah, selaras dengan semangat “Kasih DiRaja, Harapan Rakyat” yang menjadi nadi perjuangan Yayasan Al-Sultan Abdullah.

Tags:

Share:

Scroll to Top