April 2, 2026

Majlis Indahnya Syawal 2026: Menyulam Kasih, Menjalin Persaudaraan anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) bersama Kuantan 188.

Kuantan, 2 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli ke Majlis Indahnya Syawal 2026 yang dianjurkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) bersama Kuantan 188.

Turut mengiringi ialah Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang; Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali, Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA); serta Dato’ Sri Omar Naresh Mohan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trinidade Hospitality Sdn. Bhd.

Majlis ini turut meraikan seramai 60 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A, yang merupakan peserta Program Akademi Menara Gading (AMG), sebagai penghargaan atas kecemerlangan akademik mereka.

Antara pengisian utama majlis termasuk sesi ramah mesra bersama pelajar cemerlang, penyampaian penghargaan, dan majlis sambutan Aidilfitri yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam suasana penuh harmoni dan ukhuwah.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidilfitri, malah menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta menyemai inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan.

Tags:

Share:

Scroll to Top