KUANTAN, 11 April 2026 – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) melalui Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain Nurul Iman (KAFNI) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru 2026 bertempat di Akademi YASA-MUIP, Kuantan. Inisiatif ini merupakan satu langkah strategik YASA dalam usaha memperkasa kompetensi tenaga pengajar secara holistik.
Sesi pengisian ilmu yang komprehensif ini telah disampaikan oleh Puan Seriayuna binti Sa’don Zubir, Munsyi Jawi dan Pensyarah Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS). Ceramah beliau meliputi pendedahan mendalam merangkumi pengenalan silibus subjek KAFA dan kupasan mengenai kaedah pengajaran yang berkesan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di dalam bilik darjah.
Para peserta yang terdiri daripada warga pendidik KAFNI juga terlibat aktif dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Sesi praktikal ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman guru mengenai aspek pedagogi, pengurusan pembelajaran, dan pembangunan sahsiah pelajar, selaras dengan standard pendidikan Islam semasa.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat menjadi platform utama bagi menyalurkan maklumat terkini dan teknik pengajaran yang dinamik, sekali gus menyuntik semangat baharu kepada para guru untuk terus berbakti dengan penuh dedikasi.
Semoga bimbingan dan perkongsian yang diberikan dapat memberi impak positif yang berpanjangan, seterusnya melahirkan generasi pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi intelek, malah kukuh dari aspek sahsiah dan rohani.