Raub, 28 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang telah berangkat menyantuni dua beradik yang diuji dengan kehilangan lima ahli keluarga dalam satu tragedi yang amat menyayat hati di Raub.
Dalam suasana penuh hiba, Baginda berkenan meluangkan masa menzahirkan rasa simpati serta menyampaikan titah nasihat dan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi ujian yang berat ini. Keberangkatan Baginda jelas memperlihatkan sifat kasih dan keprihatinan yang sentiasa memayungi rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan.
Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) turut bersama menyalurkan sumbangan sebagai tanda sokongan dan solidariti. Semoga bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban yang ditanggung serta menjadi asbab kekuatan untuk mereka meneruskan kehidupan dengan penuh harapan.
Semoga kedua-dua beradik ini terus diberi ketabahan, dipermudahkan segala urusan dan dilimpahi rahmat serta perlindungan Allah SWT.