KUANTAN, 9 April 2026 – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad (MTPPTM) Sungai Karang berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana penuh meriah, ukhuwah dan harmoni, menghimpunkan komuniti setempat dan para jemputan khas.
Keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang diiringi Dato’ Indera Haji Mustaffa Kamal bin Haji Ab Hamid, Penyelaras DUN Beserah; Profesor Madya Dr. Amran bin Muhammad, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa MTPPTM; Lt. Kol. (B) Amir bin Yahaya, Pegawai Hal Ehwal Agama YASA; Inspektor Muzafar bin Musa, Ketua Balai Polis Beserah; dan Tuan Ahmad Faizul Rahimi bin Abu Ishak, Penghulu Mukim Sungai Karang.
Majlis berkenaan menjadi platform mengeratkan silaturahim antara institusi masjid, kepimpinan setempat dan masyarakat, di samping menyemarakkan semangat Aidilfitri melalui jamuan dan sesi ramah mesra serta interaksi bersama para hadirin.
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang turut berkenan menunaikan solat Isyak secara berjemaah bersama kariah serta menyampaikan kurniaan kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan keberkatan.