Pekan & Kuantan, 9 April 2026 – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) melalui Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain Nurul Iman (KAFNI) telah menganjurkan Majlis Indahnya Syawal 2026 peringkat KAFNI yang berlangsung secara serentak di tiga cawangan iaitu KAFNI Sungai Karang, KAFNI Pekan dan KAFNI Sepekan Jaya.
Majlis yang disambut dalam suasana penuh ukhuwah ini melibatkan penyertaan warga kerja dan para pelajar KAFNI sebagai tanda kesyukuran setelah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
Ketiga-tiga lokasi menyaksikan suasana yang meriah dengan kehadiran para pelajar dan warga kerja yang tampil mengenakan busana tradisi, di samping menikmati pelbagai juadah Aidilfitri yang disediakan. Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja dan pelajar, malah menjadi platform penting dalam menyemai nilai-nilai murni dan budaya saling menghormati serta memperkukuh jati diri dalam kalangan generasi muda.
Pihak pengurusan Yayasan Al-Sultan Abdullah sentiasa komited dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga KAFNI. Sambutan seumpama ini dilihat mampu menyuntik semangat kegembiraan dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih harmoni serta kondusif.
Semoga sambutan Aidilfitri ini terus membawa keberkatan yang berpanjangan kepada seluruh warga KAFNI, di samping memperkukuh semangat perpaduan antara guru dan pelajar serta pihak YASA dalam usaha memartabatkan pendidikan fardu ain di negeri ini.