April 9, 2026

Taklimat Permohonan UPUOnline Akademi Menara Gading (AMG) 2026

Kuantan, 9 April 2026 – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Taklimat Permohonan UPUOnline Akademi Menara Gading (AMG) 2026 bertempat di Perpustakaan Anggerik, Akademi YASA-MUIP. Sesi taklimat yang penuh informatif ini telah disampaikan oleh Tuan Mohd Najib bin Mohd Sarif, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Kementerian Pendidikan Tinggi, yang memberikan penjelasan terperinci mengenai tatacara permohonan dan kriteria pemilihan bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi tahun 2026.

Turut hadir Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pengurus AMG; Puan Dewi Ratih binti Mohamed Razz Rozzman, Pengurus Khidmat Korporat YASA; dan Tuan Zainal bin Haji Bahari, Pengarah Pusat Pemasaran & Kemasukan UMPSA. Inisiatif hasil kolaborasi strategik bersama UPU dan UMPSA ini bertujuan untuk membimbing calon-calon berpotensi, khususnya calon di bawah naungan AMG agar lebih bersedia dan cakna dalam mengemudi sistem UPUOnline demi masa depan pendidikan mereka.

Penganjuran program ini juga diharapkan dapat menjadi platform utama bagi menyalurkan maklumat tepat dan terkini, sekali gus memudahkan urusan para pelajar dalam mengejar cita-cita ke peringkat menara gading. Melalui kerjasama erat antara YASA, KPT dan UMPSA, usaha ini diharap dapat terus memperkasa akses pendidikan berkualiti dan melahirkan modal insan yang berdaya saing selaras dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara. Semoga bimbingan yang diberikan dapat memberikan impak positif dan menyuntik semangat kepada semua peserta yang hadir.

Tags:

Share:

Scroll to Top