March 13, 2026

Program Outreach Pemeriksaan Kesihatan Percuma

Kuala Lipis, 13 Mac 2026 – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) telah menganjurkan Program Outreach Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Masjid Saiyidina Ali bin Abi Talib bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat menjalani saringan kesihatan asas dan mendapatkan khidmat nasihat kesihatan secara percuma.

Dalam kesempatan tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah turut berkenan menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai tanda sokongan terhadap kepentingan amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

Melalui program ini, orang ramai turut disarankan agar menjadikan pemeriksaan kesihatan berkala sebagai amalan, khususnya bagi individu berusia 35 tahun ke atas, bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan baik serta mengesan sebarang risiko penyakit pada peringkat awal.

Di samping itu, masyarakat juga digalakkan untuk terus menitikberatkan pemakanan yang sihat dan seimbang, lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan. Amalan berpuasa merupakan satu kaedah yang baik untuk menjaga kesihatan, namun pemilihan makanan yang sederhana dan berkhasiat ketika berbuka puasa serta sahur perlu diberi perhatian agar manfaat kesihatan daripada ibadah puasa dapat dimaksimumkan.

Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Yayasan Al-Sultan Abdullah dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan kesihatan, kebajikan dan khidmat komuniti.

Tags:

Share:

Scroll to Top