March 12, 2026

KDPB Sultan Pahang berangkat mencemar duli menyantuni pelajar dalam Program School Tour Skor A+ SPM Pahang 2026.

Kuala Lipis, 12 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat mencemar duli menyantuni para pelajar sempena Program School Tour Skor A+ SPM Pahang 2026 di SMK Clifford.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama mengiringi ialah Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali, Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA); Tuan Muhammad Asyraf bin Dato’ Sri Haji Khalid, Pengarah Perkongsian Strategik PTTI Group Sdn. Bhd.; dan Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Program anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama PTTI Group Sdn. Bhd., dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang ini melibatkan penyertaan 100 orang calon SPM 2026 dari SMK Clifford yang mengikuti seminar akademik intensif bagi subjek Sains dan Matematik.

Inisiatif jelajah pendidikan ini merupakan cetusan idea Paduka Baginda bagi membantu pelajar memperkukuh kefahaman akademik serta meningkatkan keyakinan menghadapi peperiksaan SPM.

Sehingga kini, program ini telah memberi manfaat kepada 8,598 pelajar melibatkan 198 buah sekolah menengah di seluruh negeri Pahang dan dilaksanakan secara berperingkat dari Januari hingga Mei 2026.

Tags:

Share:

Scroll to Top