KUALA LUMPUR, 10 NOVEMBER 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan ‘A Decade of Joy’ anjuran The Parenthood yang berlangsung di taman permainan bertema London milik jenama tersebut di Sunway Pyramid, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi oleh YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan menandatangani plak peringatan sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan The Parenthood sebelum berangkat meninjau kemudahan serta ruang permainan bertema yang disediakan di pusat berkenaan.
Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan persembahan kanak-kanak, termasuk tarian tradisional Kuda Kepang oleh Tabika Perpaduan PPR Lembah Subang 2 dan persembahan tarian moden oleh penghuni Rumah Good Samaritan.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan usaha murni pelbagai pihak, The Parenthood turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Tabika Perpaduan PPR Lembah Subang 2 dan Rumah Good Samaritan, serta sumbangan RM30,000 kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan komuniti.
Sumbangan kepada YASA tersebut telah disampaikan oleh Pengasas The Parenthood dan diterima oleh YBhg. Dato’ Ahmad Najmi bin Abdul Razak, mewakili Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).