KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat bercemar duli menyertai program “Walk with King of Sports”, sebuah inisiatif diraja berkonsepkan Royal Wellness Engagement yang bertujuan meraikan perpaduan nasional, di samping menggalakkan gaya hidup sihat dan kesejahteraan rakyat.
Program simbolik ini menghimpunkan atlet legenda tanah air dalam satu acara berjalan kaki bersama Kebawah Duli Paduka Baginda sebagai tanda kebersamaan dan kasih diraja terhadap rakyat. Ia turut menjadi simbol sokongan terhadap usaha memperkukuh semangat perpaduan, kesukanan dan kesejahteraan masyarakat menerusi pendekatan berasaskan kesihatan dan sukan sebagai jambatan keharmonian nasional.
Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dalam memperkukuh teras kesejahteraan rakyat menerusi aktiviti kesihatan dan komuniti. Ia selaras dengan aspirasi Baginda untuk memupuk nilai perpaduan serta keseimbangan hidup rakyat Malaysia melalui penglibatan aktif dalam sukan dan gaya hidup sihat.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama ShekhinahPR, Bata Malaysia, Stadium Merdeka, Prince Court Medical Centre, Etika, FWH Media, dan DCS Network, bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 November 2025 (Rabu) bermula jam 2.00 petang hingga 6.00 petang, diakhiri dengan sesi High Tea bersama tetamu kehormat.